Trump batal siaran langsung hukuman mati selepas dikecam dunia

Trump batal siaran langsung hukuman mati selepas dikecam dunia

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan rancangan menyiarkan secara langsung hukuman mati terhadap bekas pakar psikiatri tentera, Nidal Malik Hasan susulan kecaman meluas di seluruh dunia. Dalam hantaran di media sosial Trump berkata, siaran hukuman mati itu mungkin menjadi pengajaran kepada dunia tentang cara AS menangani pengganas dan individu seperti Nidal. Bagaimanapun, beliau berkata, ramai pihak yang berniat baik tidak mahu menyaksikan kematian Nidal melalui siaran langsung atau sebarang kaedah visual lain. “Dia akan dihukum mati mengikut jadual, iaitu melalui skuad penembak, tetapi peristiwa itu tidak akan disiarkan secara langsung,” kata Trump. Beliau menambah, keluarga terdekat mangsa boleh menyaksikan hukuman mati itu secara bersemuka sekiranya mereka mahu. Nidal disabit kesalahan menembak mati 13 anggota tentera AS yang tidak bersenjata dan mencederakan 32 yang lain di sebuah pangkalan tentera di Texas pada 2009. Hukuman mati terhadapnya menggunakan skuad penembak bakal menjadi pelaksanaan hukuman mati pertama oleh tentera AS dalam tempoh lebih 60 tahun. Hukuman tersebut dijadualkan berlangsung pada 3 Disember 2026, pukul 1 tengah hari (Waktu tempatan) di pangkalan tentera Fort Hood, Texas. Sekiranya disiarkan, ia akan menjadi yang pertama dalam sejarah negara itu hukuman sedemikian dipertontonkan kepada umum melalui siaran langsung. Nidal mengalami kelumpuhan dari pinggang ke bawah selepas ditembak anggota penguat kuasa undang-undang ketika kejadian tembakan di Fort Hood dan kini menggunakan kerusi roda. Dalam temu bual bersama Real America’s Voice pada Khamis minggu lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata, beliau menyokong hukuman mati secara terbuka kerana orang ramai perlu memahami bahawa perbuatan sedemikian membawa akibat yang serius. Namun, pentadbiran Trump berdepan kecaman meluas selepas pengumuman itu dibuat, termasuk perbandingan dengan amalan pemerintahan diktator di Iran dan Afghanistan. Ahli politik AS daripada pelbagai fahaman politik turut mengutuk rancangan berkenaan dan menggesa Hegseth mempertimbangkan semula keputusan itu. Pada Jumaat minggu lalu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penyiaran pembunuhan itu akan menyamai hukuman mati di khalayak ramai dan melanggar larangan mutlak terhadap penyeksaan.-AGENSI The post Trump batal siaran langsung hukuman mati selepas dikecam dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Berita lain

Sitemap