
- Berita Dunia
- Meja Berita
PETALING JAYA: Hari malang skuad negara di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 terus berpanjangan apabila jaguh keirin negara, Datuk Azizulhasni Awang gagal ke separuh akhir sebelum dua pelumba wanita turut terkandas dalam acara pecut individu di Shanghai, semalam. Harapan yang disandarkan kepada Azizulhasni yang menjuarai Sukan Komanwel dan Asia tidak kesampaian apabila pelumba berpengalaman itu menduduki tempat keenam dalam saringan ketiga suku akhir, sekali gus menamatkan cabarannya dalam acara keirin lelaki. Lebih mengecewakan, bekas juara dunia 2017 itu sebelum ini berjaya melepasi pusingan pertama selepas menamatkan saringan di tempat kedua, hanya 0.006 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Kaiya Ota, namun gagal mengulangi prestasi sama ketika saingan semakin sengit. Malang turut menimpa acara pecut individu wanita apabila Nur Alyssa Mohd Farid gagal melepasi pusingan 1/16 akhir selepas tewas kepada wakil Britain, Rhianna Parris-Smith, dengan perbezaan 0.071s. Nur Alyssa sebelum itu mencatat masa 10.788s dalam kelayakan 200 meter (m) untuk menduduki tempat ke-23, namun gagal menterjemahkan prestasi tersebut ketika berdepan lawan dalam perlumbaan kalah mati. Nasib sama menimpa ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang tersingkir selepas tewas kepada pelumba Australia, Molly McGill, dengan perbezaan hanya 0.043s dalam saringan pusingan 1/16 akhir. Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pelumba negara gagal meneruskan cabaran ke pusingan 1/8 akhir, sekali gus menambah kekecewaan kem Malaysia yang masih mencari keputusan positif selepas permulaan hambar dalam acara berpasukan kelmarin. Skuad pecut berpasukan lelaki dan wanita gagal menembusi kelompok lapan terbaik dalam pusingan kelayakan, kelmarin, sekali gus menutup peluang mereka meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya. Trio lelaki yang dibarisi Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom hanya menamatkan kelayakan di tempat ke-16 dengan catatan 44.815s, manakala wanita pula berada di tangga ke-11 menerusi masa 48.366s. Rentetan kegagalan itu pastinya menjadi tamparan buat skuad negara di Shanghai, terutama apabila Azizulhasni yang menjadi sandaran utama dalam keirin turut terkandas, manakala barisan pecut wanita gagal memanfaatkan peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan dunia kali ini selepas mendapat pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya baru-baru ini. Bagaimanapun, peluang untuk menebus kekecewaan masih terbuka buat Azizulhasni apabila dia dijadual turun dalam acara pecut individu lelaki, esok, sekali gus memberi ruang kepada jaguh negara itu memburu kejuaraan dunia sekali lagi. – UTUSAN The post Hari malang berlanjutan, langkah Azizulhasni tersekat appeared first on Utusan Malaysia.
— Datuk Azizulhasni Awang gagal ke separuh akhir acara keirin, manakala dua pelumba wanita tersingkir dalam acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Duni
— PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang ASEAN sejak 2023 dengan pengukuhan sekitar tujuh peratus, disokong pertumbuhan kuku
— WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan rancangan menyiarkan secara langsung hukuman mati terhadap bekas pakar psikiatri tentera, N