- Berita Dunia
- Meja Berita
PETALING JAYA: Naratif penyatuan ummah yang digagaskan UMNO dan Pas diakui berjaya menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, namun disifatkan sebagai tidak sihat untuk negara dalam jangka panjang.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keberkesanan formula itu dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini yang menyaksikan dominasi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Sokongan Cina kekal utuh
Menurut Zafrul, walaupun sokongan pengundi Cina tidak terjejas dengan ketara, pertembungan satu lawan satu mengakibatkan undi orang Melayu beralih kepada parti lawan.
"Ya, betul, (penyatuan ummah) menjejaskan PH. Penyatuan Melayu lepas mereka serang DAP juga, nampaknya formula itu dalam pilihan raya baru-baru ini di Negeri Sembilan. It works (ia berhasil).
"Walaupun sokongan Cina tak terkesan sangat di Negeri Sembilan dalam 80 peratus sokongan Cina kepada PH, tapi sokongan Melayu 20 lebih peratus, masih tinggi tapi apabila kita tak ada pecah tiga (pertembungan BN dan PN), itu yang impaknya (kepada PH)," katanya ketika diwawancara menerusi Podcast PodX Utusan Malaysia.
Beliau yang kini berperanan sebagai pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan turut memberi contoh kawasan Chennah yang disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Menurutnya, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan berkenaan, calon PH mungkin sudah pun menang, sebaliknya pertembungan satu lawan satu mengubah landskap politik di situ.
Jalan sukar menjelang PRU16
Zafrul berkata, PH berhadapan jalan yang sukar sekiranya strategi penyatuan ummah antara UMNO dan Pas kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kerana di kebanyakan kawasan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu berbanding tiga penjuru.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa politik identiti yang dimainkan UMNO dan Pas dilihatnya sebagai tidak sihat untuk jangka masa panjang bagi negara sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Beliau berpandangan isu tersebut bukan berpunca daripada perkauman sebaliknya didorong faktor ekonomi, apabila orang Melayu merasakan mereka tertinggal dari segi pendapatan dan kekuatan ekonomi sehingga dimanipulasi oleh sesetengah pemimpin politik menjadikannya bersifat rasis.
"Tapi sebagai pemimpin, bagi saya ia isu utamalah. Kalau kita lihat apa yang berlaku di seluruh dunia, isu imigrasi menyebabkan rakyat menyokong setengah pihak terutamanya yang berhaluan kiri atau kanan, untuk negara kita, saya rasa isunya berpunca bukan perkauman.
"Isunya berpunca kerana ekonomi kerana apabila rakyat terutamanya golongan Melayu rasa mereka tertinggal dari segi pendapatan, dari segi kekuatan ekonomi, jadi mereka akan dimanipulasikan oleh setengah pemimpin yang mengatakan Melayu ini terkesan kerana Cina," katanya.
Beliau menambah, rakyat tidak seharusnya menyalahkan kaum lain kerana ia sebenarnya adalah isu dalaman yang perlu ditangani bersama, sambil menegaskan pendiriannya yang percaya kepada Dasar Ekonomi Baru (NEP) dan hak Bumiputera.
PH perlu perbaiki mesej, jentera akar umbi
Bagi mematahkan naratif penyatuan ummah itu, Zafrul berkata, PH perlu mempunyai formula yang mampu memulihkan semula kekuatan bagi meraih kembali sokongan, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Katanya, PH harus memberi penerangan kepada rakyat bahawa negara ini tidak mengamalkan politik perkauman sebaliknya melihat kepada objektif yang lebih besar.
Selain itu, PH khususnya PKR perlu menambah baik jentera di peringkat akar umbi serta memperbaiki aspek komunikasi dan mesej yang ingin disampaikan kepada pengundi tegar dan pengundi atas pagar.
"Mesej itu sendiri dan saya percaya apa yang dibuat oleh Perdana Menteri maksudnya dari segi ekonomi. Saya pergi ke luar negara memang banyak negara cemburu dengan pencapaian ekonomi kita.
"Tetapi pada masa sama, isu perkembangan ekonomi ini bagus, positif, namun macam mana kita hendak pastikan rakyat dapat rasa? Kalau kita cakap besar-besar, tapi rakyat tak rasa, rakyat akan rasa kita ini macam disconnected (tak faham realiti). Jadi ini satu lagi penambahbaikan yang perlu dibuat supaya kita fokus kepada isu-isu melibatkan kos sara hidup," katanya.
Fokus kos sara hidup rakyat
Isu kos sara hidup yang dibangkitkan Zafrul itu selari dengan kebimbangan umum rakyat Malaysia yang berdepan tekanan harga barangan keperluan, seiring dengan keperluan menyampaikan mesej ekonomi secara lebih berkesan kepada kumpulan sasaran.
Dalam konteks lebih luas, kedudukan PH dalam PRU16 akan bergantung kepada keupayaannya menyesuaikan strategi menghadapi pakatan penyatuan ummah yang kini terbukti memberi kesan dalam PRN Negeri Sembilan.
Dengan PRU16 masih belum menjelma, gabungan strategi politik identiti dan peralihan undi Melayu akan terus menjadi tumpuan utama dalam menentukan hala tuju politik negara pada pilihan raya akan datang.