- Perniagaan
- Meja Berita
PETALING JAYA: Ringgit dijangka berdepan tekanan dalam tempoh terdekat, dengan pergerakannya dianggarkan berada dalam julat RM4.03 hingga RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), susulan pengukuhan mata wang AS yang didorong jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, berkata pergerakan ringgit banyak dipengaruhi faktor luaran, terutamanya perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Fed. Beliau merujuk kenyataan Pengerusi Fed AS, Kevin Warsh, pada Jumaat lalu yang menekankan keperluan memberi tumpuan kepada inflasi yang masih melebihi sasaran dua peratus, sekali gus meningkatkan jangkaan pasaran terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah.
“Situasi itu turut meningkatkan tumpuan terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 15 hingga 16 September ini yang dijangka menjadi penentu hala tuju dasar monetari AS. Keadaan ini mengukuhkan dolar AS dan seterusnya memberi tekanan kepada ringgit serta mata wang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut menyentuh mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 September ini yang menjadi perhatian pasaran. Menurutnya, kadar inflasi dijangka kekal stabil susulan pengumuman penambahan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi, manakala pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal baik dengan kadar dasar semasa. Justeru, pihaknya menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikekalkan pada paras 2.75 peratus.
Sementara itu, Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, berpandangan ringgit minggu ini akan bergerak dalam keadaan tidak menentu dan cenderung sedikit tertekan pada awal minggu, sebelum arah seterusnya lebih jelas apabila data ekonomi AS dikeluarkan.
“Secara kasar, saya melihat ringgit berbanding dolar AS berpotensi bergerak dalam lingkungan RM4.05 hingga RM4.12 dalam jangka pendek dengan risiko ringgit melemah sekiranya data AS terlalu kuat atau Fed memberi isyarat lebih agresif. Sebaliknya, jika data pekerjaan AS lebih lemah daripada jangkaan dan pasaran kembali menjangkakan Fed tidak menaikkan kadar, dolar AS boleh kehilangan momentum dan ringgit berpeluang kembali mengukuh,” katanya.
Beliau menambah, prospek ringgit masih tidak buruk dalam perspektif lebih sederhana. Kenanga Investment Bank baru-baru ini mengekalkan unjuran RM3.95 berbanding dolar AS pada akhir 2026, menunjukkan terdapat pandangan bahawa ringgit masih mempunyai ruang untuk mengukuh dalam tempoh lebih panjang.