Ringgit antara mata wang ASEAN terbaik sejak 2023

Ringgit antara mata wang ASEAN terbaik sejak 2023

PETALING JAYA: Ringgit mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang ASEAN sejak 2023 dengan pengukuhan sekitar tujuh peratus, disokong pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh serta asas domestik yang mantap. Prestasi itu turut dibantu oleh pertumbuhan eksport negara yang berterusan.

Sokongan eksport dan dasar OPR

Ahli Ekonomi Kanan MARC Ratings Berhad, Kamal Zharif Jauhari berkata, pengukuhan ringgit itu disokong oleh pertumbuhan eksport, asas domestik yang kukuh serta prestasi ekonomi negara. Menurutnya, Malaysia masih mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, berbeza dengan Amerika Syarikat (AS), Indonesia dan Filipina yang telah menaikkan kadar faedah susulan peningkatan inflasi.

"Kadar faedah Malaysia berpotensi kembali ke paras normal sekitar tiga peratus, berdasarkan purata jangka panjang, mengambil kira prestasi ekonomi negara pada 2025 dan 2026," katanya dalam webinar MARC360: Menghurai Belanjawan 2027–Ekonomi dan Langkah Seterusnya.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, disokong pertumbuhan pelaburan dan eksport.

Unjuran pertumbuhan KDNK

MARC Ratings mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 5.1 peratus pada 2026 dan lima peratus pada 2027. Pelaburan dan eksport, khususnya dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), dijangka terus menyokong pertumbuhan tersebut.

Mengulas berkaitan Belanjawan 2027, Kamal Zharif berkata, kerajaan meneruskan usaha konsolidasi fiskal dengan sasaran mengurangkan defisit kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada 2027 sebelum mencapai tiga peratus pada 2028.

Menurutnya, usaha itu diteruskan meskipun perbelanjaan kerajaan kekal tinggi, dengan perbelanjaan pembangunan meningkat RM2 bilion kepada RM83 bilion pada 2027, berbanding RM81 bilion sebelum ini.

"Jumlah itu bagaimanapun masih di bawah purata RM86 bilion yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13," katanya.

Pada masa sama, subsidi dan bantuan sosial diunjurkan berjumlah RM72.7 bilion pada 2027. Walaupun lebih rendah berbanding angka yang disemak semula, jumlah itu masih jauh lebih tinggi daripada peruntukan asal Belanjawan 2026.

Hasil kerajaan dan hutang persekutuan

Beliau berkata, hasil kerajaan sebagai peratusan KDNK turut menyusut daripada 17.3 peratus kepada 16.4 peratus, sekali gus menjadikan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kerajaan penting bagi memastikan konsolidasi fiskal dapat diteruskan.

Ujarnya, hasil cukai tidak langsung menunjukkan peningkatan daripada 3.2 peratus pada 2023 kepada 4.2 peratus, manakala cukai langsung dan hasil bukan cukai masih memerlukan perhatian. Beliau turut membangkitkan kemungkinan mekanisme cukai atau royalti bagi unsur nadir bumi sebagai salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan untuk menyokong hasil bukan cukai kerajaan.

Dari segi kedudukan hutang, katanya, hutang Kerajaan Persekutuan diunjurkan pada 63.7 peratus daripada KDNK pada 2027, melebihi had 60 peratus di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA).

"Pertumbuhan KDNK nominal yang lebih tinggi daripada kadar faedah efektif membantu mengehadkan peningkatan hutang kerajaan Persekutuan sejak 2023, namun jurang antara kedua-dua kadar itu semakin mengecil," jelasnya.

Bagi 2027, konsolidasi fiskal akan diteruskan dengan sasaran defisit sebanyak 3.3 peratus. Walaupun terdapat kekurangan mutlak, jumlahnya hanya sekitar RM1 bilion, manakala hasil tambahan menurun berbanding KDNK.

Berita lain

Sitemap