Raja Penyu kembali mendarat di pantai Terengganu selepas hampir sedekad

  • Pelancongan
  • Meja Berita

KUALA TERENGGANU: Selepas hampir sedekad tidak dikesan, penyu belimbing atau Raja Penyu kembali mendarat dan bertelur di pesisir pantai Terengganu. Tiga pendaratan direkodkan sepanjang bulan ini dengan keseluruhan 195 butir telur dipindahkan ke tapak pengeraman bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup spesies terancam itu.

Menurut statistik Jabatan Perikanan Terengganu, pendaratan terakhir penyu belimbing sebelum ini dicatatkan pada 2010 membabitkan lapan sarang, manakala dua sarang lagi dikesan pada 2017 di Pantai Kampung Jambu Bongkok, Dungun yang menghasilkan 92 butir telur. Selepas itu, spesies marin terbesar dunia itu seolah-olah menghilang dari radar pendaratan di negeri ini.

Tiga pendaratan direkodkan

Pendaratan pertama direkodkan pada 1 September lalu di Pantai Pasir Putih, Marang membabitkan 44 telur. Seterusnya pada 13 September di Pantai Rantau Abang dengan 81 telur, manakala pendaratan ketiga pada Selasa lepas di Pantai Kuala Abang, Dungun dengan 70 butir telur.

Bagi pendaratan pada 1 dan 13 September, penyu induk tidak ditemukan di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan. Namun pada pendaratan ketiga di Pantai Kuala Abang, penyu induk berjaya dijumpai dan diukur oleh pegawai pemuliharaan.

Kesemua 195 butir telur itu kini berada di bawah pengurusan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TCIC) Rantau Abang. Tempoh pengeraman dijangka antara 55 hingga 70 hari bergantung kepada suhu pasir sebelum anak penyu menetas.

Faktor kemerosotan populasi

Kemerosotan pendaratan penyu belimbing di Terengganu pernah merosot secara drastik daripada kira-kira 10,000 sarang setahun kepada hanya 50 sarang sekitar tahun 1980-an. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila tiada pendaratan direkodkan sejak 2017.

Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kebanjiran pengunjung yang menggunakan cahaya berlebihan, aktiviti mencuri telur, kemajuan teknologi penangkapan ikan serta penggunaan pukat yang menyebabkan penyu belimbing mati lemas. Pencemaran laut turut menyumbang kepada kematian spesies itu akibat tertelan plastik yang disangka ubur-ubur.

Pada zaman emas pendaratan penyu sekitar tahun 1970-an, pemajak telur berlesen pernah merekodkan penemuan 3,500 sarang atau 294,000 telur dalam satu-satu masa. Ketika itu industri pelancongan Rantau Abang berkembang pesat dengan pelancong dari seluruh dunia datang menyaksikan sendiri pendaratan penyu belimbing.

Telur penentu kelangsungan

Ketua Pusat Konservasi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, tumpuan utama bukan sekadar kepada kepulangan induk penyu belimbing ke pantai Terengganu, sebaliknya nasib telur yang kini dieramkan TCIC Rantau Abang.

"Bab pertama adalah induknya kembali, namun perkara yang jauh lebih penting sama ada telur ini mampu menghasilkan generasi baharu. Jika telur-telur ini berkembang dan menetas, maknanya jauh lebih besar daripada sekadar rekod pendaratan kerana ia membuktikan masih terdapat induk jantan dalam populasi berkenaan."

Beliau menambah, kejayaan pembiakan penyu belimbing bergantung kepada pelbagai faktor dan setiap telur yang ada sekarang sangat bernilai kerana jumlahnya kecil serta berpotensi menjadi generasi baharu bagi spesies yang semakin terancam.

Sinar baharu untuk Rantau Abang

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kemunculan semula Raja Penyu membawa sinar baharu sekali gus membuktikan pantai di negeri ini kekal sebagai habitat selamat dan destinasi pendaratan pilihan spesies marin berkenaan.

"Penyu belimbing adalah spesies penyu terbesar di dunia dan kemunculannya semula di pesisiran pantai Terengganu selepas hampir sedekad tidak kelihatan adalah sesuatu yang sangat bermakna kepada usaha pemuliharaan spesies ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris pula berkata, kemunculan semula penyu belimbing bukan sekadar berita baik untuk pemuliharaan, malah boleh menjadi peluang menghidupkan kembali Rantau Abang sebagai antara kawasan tumpuan berkaitan penyu di negeri ini. Katanya, pendaratan itu memberi gambaran bahawa kawasan berkenaan masih mempunyai potensi untuk menjadi habitat penting spesies berkenaan.

Penyu belimbing sememangnya sinonim dengan Terengganu apabila imej penyu diangkat sebagai lambang kebanggaan dan produk pelancongan negeri, termasuk jolokan Sang Penyu untuk skuad bola sepak negeri. Kejayaan telur-telur ini menetas nanti akan menjadi petunjuk penting sama ada Raja Penyu benar-benar kembali ke perairan negara atau sekadar singgah sebelum lenyap buat selama-lamanya.

Berita lain

Sitemap