- Berita Dunia
- Meja Berita
META dilaporkan sedang bersiap untuk melancarkan Hatch, satu penawaran AI berejen yang bakal bersaing dengan OpenClaw, seawal Ogos atau September ini. Selain itu, syarikat itu juga sedang membangunkan model AI baharu secara dalaman yang dijadualkan untuk pelancaran sekitar Oktober.
Langkah ini selaras dengan fokus Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, untuk memperkukuhkan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan bersaing dengan pemain utama lain dalam industri tersebut. Zuckerberg sebelum ini meluahkan kekecewaan kerana gagal menguasai pasaran telefon pintar seperti Google dan Apple. Bagi memastikan tidak ketinggalan dalam teknologi seterusnya, beliau telah melabur secara besar-besaran dalam bidang realiti terimbuh (augmented reality), menyasarkan ia sebagai arena masa depan.
Bagaimanapun, kemunculan mendadak AI telah mengubah landskap teknologi dengan kelahiran jenama seperti OpenAI dan Anthropic. Zuckerberg tidak mudah mengalah dan telah mengalihkan sebahagian pelaburan ke pembangunan AI, termasuk mengambil alih beberapa syarikat dan menarik bakat untuk memperkukuhkan produk mereka.
Walaupun Meta mempunyai capaian pengguna yang tinggi melalui platform seperti WhatsApp dan Instagram, penggunaan Meta AI masih rendah kerana ia dilihat kurang pintar berbanding model lain. Namun, dengan model yang lebih baik dan integrasi AI berejen, keadaan ini mungkin berubah.
Menurut laporan awal, Hatch dijangka mengintegrasikan kawalan dengan beberapa aplikasi popular di Amerika Syarikat, memudahkan pengguna untuk memberi arahan dan mengautomasikan pelbagai tugasan. Perkhidmatan ini juga dijangka membolehkan Meta menjana pendapatan tambahan melalui langganan pengguna.
Dengan perkembangan ini, kita akan melihat sama ada Zuckerberg dan Meta mampu menerajui arena AI atau tidak.