MEF: Kenaikan gaji minimum perlu seiring produktiviti, kemampuan PMKS

  • Berita Dunia
  • Meja Berita

PETALING JAYA: Sebarang pelarasan gaji minimum di Malaysia perlu mengambil kira pertumbuhan produktiviti, kos operasi serta kemampuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyerap kenaikan kos buruh, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Penasihat Kanan MEF bagi Kerajaan, Media dan Hubungan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata kenaikan gaji minimum bukan sekadar melibatkan peningkatan gaji asas, sebaliknya turut menambah keseluruhan kos menggaji pekerja. Gaji mesti mampan

Menurut beliau, MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi ia perlu mampan dan tidak boleh dipisahkan daripada produktiviti, daya saing serta keupayaan perniagaan menyerap kos tambahan.

"MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi kenaikan gaji mesti mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan keupayaan perniagaan menyerap kos tambahan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati sekiranya pelarasan gaji minimum menyebabkan kadar itu meningkat jauh melebihi RM1,700 ketika ini. Kenaikan 11.8 hingga 17.6 peratus

Syed Hussain menjelaskan, kenaikan kepada RM1,900 mewakili peningkatan kira-kira 11.8 peratus, manakala RM2,000 pula meningkat kira-kira 17.6 peratus.

"Kenaikan lebih 10 hingga 12 peratus pada kadar gaji minimum memerlukan pertimbangan yang sangat serius. Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil, kenaikan ketara kos buruh boleh memberi tekanan besar terhadap keupayaan mereka mengekalkan pekerja, berkembang dan kekal berdaya saing," katanya.

Menurutnya, kos sebenar yang ditanggung majikan juga merangkumi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), levi Pembangunan Sumber Manusia (HRD) jika berkenaan, kerja lebih masa, cuti, latihan dan kos berkaitan pekerjaan lain. Produktiviti naik 5.5 peratus

MEF berpandangan pertumbuhan gaji perlu bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti bagi memastikan kenaikan pendapatan pekerja dapat dikekalkan oleh perniagaan.

Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan produktiviti buruh bagi setiap jam bekerja meningkat 5.5 peratus pada suku kedua 2026 kepada RM46.50 sejam.

"Malaysia tidak seharusnya memisahkan gaji daripada produktiviti. Jika kita mahukan gaji lebih tinggi, kita juga mesti meningkatkan produktiviti. Produktiviti yang lebih tinggi membolehkan perniagaan membayar gaji lebih baik sambil kekal berdaya saing," katanya. Risiko harga naik, automasi

Syed Hussain berkata, jika peningkatan kos pekerjaan jauh lebih tinggi berbanding peningkatan produktiviti, perniagaan mungkin bertindak melalui kenaikan harga, mengurangkan pengambilan pekerja, mengurangkan waktu bekerja atau meningkatkan automasi.

Beliau menegaskan PMKS juga memainkan peranan penting sebagai saluran kemasukan golongan muda dan pendatang baharu ke pasaran pekerjaan dengan menyediakan pekerjaan serta peluang membangunkan kemahiran.

Sehubungan itu, MEF menyokong pendekatan kajian gaji minimum setiap dua tahun bagi memberikan tempoh yang lebih mencukupi kepada majikan untuk merancang operasi, melabur dalam produktiviti dan meningkatkan keupayaan membayar gaji lebih tinggi.

Pendekatan itu dijangka memberi ruang kepada PMKS di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menyesuaikan struktur kos masing-masing sebelum sebarang kadar baharu dikuatkuasakan.

Berita lain

Sitemap