- Berita Dunia
- Meja Berita
PETALING JAYA: Malaysia berdepan cabaran besar dalam mewujudkan pekerjaan berkualiti apabila pasaran buruh hanya mampu mencipta sekitar 120,000 hingga 130,000 pekerjaan formal baharu setiap tahun, sedangkan sehingga 500,000 tenaga buruh baharu memasuki pasaran dalam tempoh lima tahun lalu. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan setiap tahun jauh lebih rendah berbanding jumlah graduan baharu, menyebabkan pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus setahun belum mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat.
Penyelidik PNB Research Institute (PNBRI), Farhana Roslan, berkata keadaan itu menunjukkan cabaran pasaran buruh Malaysia bukan lagi sekadar menyediakan tenaga kerja, tetapi memastikan ekonomi mampu mewujudkan pekerjaan yang cukup berkualiti untuk menampung tenaga buruh yang terus bertambah. Menurutnya, walaupun dasar gaji minimum membantu meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah sepanjang dekad lalu, pekerjaan bergaji sederhana yang melibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia hampir tidak mencatat pertumbuhan.
"Firma besar, misalnya, membayar gaji median sehingga tiga kali lebih tinggi berbanding gaji median keseluruhan, namun saiz pasaran mereka semakin mengecil, sekali gus mengehadkan keupayaan menyerap lebih ramai pekerja," katanya dalam laporan bertajuk 'Strategi Pekerjaan Berkualiti untuk Malaysia'.
Tambahnya, isu ini tidak boleh diselesaikan hanya menerusi kenaikan gaji yang diarahkan kerajaan. "Sebaliknya, peningkatan produktiviti dan perubahan struktur ekonomi diperlukan bagi memastikan pertumbuhan gaji dapat disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebenar tanpa mencetuskan tekanan inflasi," ujarnya.
Bagi menangani jurang berkenaan, PNBRI mencadangkan lima strategi utama untuk meningkatkan bekalan pekerjaan yang baik dalam ekonomi Malaysia. Pertama, pembangunan bakat perlu lebih diterajui majikan bagi memastikan latihan yang disediakan sepadan dengan keperluan dan kekosongan pekerjaan sebenar. Kedua, pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional perlu diperkukuh, termasuk penggunaan insentif untuk menarik pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik. Ketiga, dasar inovasi dan teknologi perlu memberi keutamaan kepada penggunaan teknologi yang meningkatkan produktiviti pekerja. Keempat, dasar perdagangan dan pelaburan perlu diselaraskan dengan matlamat mewujudkan pekerjaan berkualiti serta pertumbuhan gaji jangka panjang. Kelima, model tadbir urus baharu perlu diwujudkan menerusi sasaran yang fleksibel serta saluran pertukaran maklumat lebih cekap antara firma dengan kerajaan.
PNBRI menegaskan, pekerjaan yang baik bukan sekadar pekerjaan bergaji tinggi, sebaliknya pekerjaan yang menawarkan pendapatan wajar dan stabil, peluang membina kemahiran, laluan kerjaya serta jaminan sosial sepanjang hayat bekerja. Laporan ini memberi gambaran jelas bahawa Malaysia perlu beralih kepada strategi yang lebih holistik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan disertai dengan pewujudan pekerjaan berkualiti demi kesejahteraan rakyat.