Malaysia Komited Perkasa Penghayatan Al-Quran Menerusi Tilawah Antarabangsa 2026

  • Berita Dunia
  • Meja Berita

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam memakmurkan penghayatan Al-Quran apabila Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1448 Hijri bersamaan 2026 Masihi akan kembali dianjurkan pada 6 hingga 10 Oktober 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Penganjuran temasya perdana itu mencerminkan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut fizikal dan ekonomi, malah kukuh dari segi nilai, akhlak dan kerohanian.

Tema MADANI dihayati

Menerusi tema "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati", acara tersebut menyerlahkan hasrat kerajaan untuk mengangkat martabat umat agar kembali mengungguli khazanah ilmu-ilmu Al-Quran.

JAKIM telah menetapkan hanya 50 peserta terbaik dari 38 buah negara hadir ke Malaysia secara fizikal, iaitu masing-masing seramai 25 orang peserta bagi Kategori Tilawah Al-Quran dan Kategori Hafazan Al-Quran.

Pemilihan maqra' turut diberikan perhatian supaya ayat-ayat yang diperdengarkan dapat mengangkat mesej yang dekat dengan realiti dan keutamaan ummah, termasuk perpaduan, ta'ayush, ihsan, integriti, kemakmuran dan pembangunan insan.

Pendekatan itu menjadikan acara berkenaan bukan sekadar platform memperdengarkan keindahan bacaan Al-Quran, tetapi juga menyampaikan mesej dan pedoman Al-Quran yang relevan dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Sejarah sejak 1960

Jika ditelusuri sejarah, Majlis Tilawah Al-Quran telah mula diadakan secara teratur di peringkat kebangsaan pada 20 Ramadhan 1379 bersamaan 18 Mac 1960, manakala peringkat antarabangsa pula pada 22 Ramadhan 1380 bersamaan 9 Mac 1961.

Kitab Al-Quran yang mengandungi 30 juzuk dengan kapasiti 114 surah, 60 hizib dan hitungan 6,236 ayat itu kekal menjadi kitab hidayah yang memberikan bimbingan serta pedoman untuk menjulang karamah insaniah.

Ia bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas, dengan setiap sisi kandungannya digambarkan bercahaya bergemerlapan sepanjang zaman.

Oktober Bulan al-Quran

Bulan Oktober diangkat sebagai Bulan al-Quran bersempena majlis tilawah dan hafazan antarabangsa bagi memperkukuh budaya membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Ia merangkumi penglibatan semua agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri bagi menggerakkan ekosistem pembangunan Al-Quran secara menyeluruh melalui pelbagai program seperti kempen membaca Al-Quran, tadabbur, kelas tajwid, forum, seminar, khatam Al-Quran serta pertandingan tilawah dan hafazan.

Temasya peringkat antarabangsa itu menjadi acara kemuncak Bulan al-Quran, sekali gus menyatukan pelbagai inisiatif pembudayaan Al-Quran di bawah satu platform nasional yang berimpak tinggi.

Serentak dalam tempoh tersebut, turut berlangsung Pameran Seni Khat Sedunia sebagai pengisian sampingan sempena majlis tilawah bagi mengetengahkan keindahan seni khat Al-Quran sebagai warisan peradaban Islam.

Pameran itu menghimpunkan karya seni khat terpilih daripada penggiat tempatan dan antarabangsa, sekali gus menjadi medium dakwah, pendidikan serta penghayatan estetika Al-Quran kepada masyarakat dan pengunjung antarabangsa.

Nur Darul Quran

Majlis Tilawah dan Hafazan kali ini turut mengetengahkan naratif "Nur Darul Quran" bagi meletakkan Darul Quran JAKIM bukan sahaja sebagai institusi tahfiz tradisional, tetapi sebagai pusat kecemerlangan global.

Ia melahirkan generasi huffaz profesional yang mahir dalam pelbagai disiplin seperti perubatan, kejuruteraan dan sains data bagi mendepani cabaran industri masa hadapan.

Dalam konteks kemajmukan negara Malaysia, nilai Al-Quran yang menyeru kepada perpaduan perlu dibuktikan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar diulang sebagai slogan atau retorik.

Setiap individu perlu membawa watak penyatu yang menghamparkan permaidani kasih sayang, sekali gus menjauhi karektor pemecah-belah yang menabur nista dan memarak api amarah.

Al-Quran juga mentarbiyah insan agar saling memuliakan serta sentiasa menjaga akhlak dan budi ketika berinteraksi, selaras dengan citra Islam sebagai agama kedamaian.

Dengan penganjuran temasya ini, Malaysia dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pembangunan Al-Quran serantau, sekali gus memperluaskan impak positifnya kepada masyarakat Islam di dalam dan luar negara.

Berita lain

Sitemap