- Berita Dunia
- Meja Berita
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menegaskan siasatan kes salah guna kuasa membabitkan urusan permohonan lot tapak perumahan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri, sama ada dalam kalangan Exco mahupun pegawai kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
"Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, siasatan kes ini tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor, sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
"Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor," tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Johor menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.
Mengulas lanjut, Mohd. Jafni menegaskan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahgunakan kedudukan demi keuntungan peribadi.
Katanya, tanggungjawab dan amanah menyediakan perumahan rakyat tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengaut keuntungan atas kesusahan orang ramai.
Pada masa sama, beliau mengesahkan kerajaan negeri kekal komited mencapai sasaran menyiapkan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang hujung tahun ini.