- Berita Dunia
- Meja Berita
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan terhadap ekonomi Iran dengan menyasarkan sumber pendapatan minyak, rizab mata wang asing, dan rangkaian kewangan yang digunakan Teheran untuk mengelak sekatan. Jabatan Perbendaharaan AS telah memutuskan Banque Misr UAE daripada sistem kewangan Amerika selepas menuduh cawangan bank Mesir itu memproses AS$1.8 bilion (RM7.25 bilion) untuk syarikat yang dipercayai berkaitan dengan rangkaian perbankan bayangan Iran.
Tindakan ini diambil empat hari selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, melancarkan operasi 'Economic Outcast', satu kempen untuk memutuskan hubungan ekonomi Iran dengan dunia. Sasaran utama Washington ialah perdagangan minyak, yang merupakan antara sumber terbesar pendapatan eksport dan mata wang asing Iran. Gabenor Bank Pusat Iran, Abdolnaser Hemmati, berkata eksport minyak negara itu telah jatuh kepada sifar akibat perang dan sekatan. Data daripada firma risikan komoditi, Kpler, menunjukkan penghantaran minyak mentah Iran merosot daripada purata 893,000 tong sehari pada Julai kepada hanya 156,000 tong sehari sepanjang Ogos.
Selain minyak, AS juga menyekat akses Iran kepada rizab mata wang asingnya. Hemmati berkata, rizab tersebut dibekukan oleh AS dan Teheran tidak dibenarkan mengeluarkannya. Sebagai tindak balas, Iran semakin bergantung kepada mekanisme pembayaran alternatif seperti rangkaian perbankan bayangan, mata wang kripto, dan orang tengah di negara ketiga untuk memindahkan hasil eksport serta mengelak sekatan.
Washington turut memperluas sekatan sekunder terhadap syarikat, bank, dan individu asing yang berurusan dengan entiti Iran yang dikenakan sekatan, termasuk dalam sektor aset digital, teknologi, emas, penerbangan, dan perkapalan. Bessent memberi amaran bahawa mana-mana entiti yang membantu pengubahan wang haram bagi pihak Iran akan disingkirkan daripada sistem dolar AS. Lebih 60 entiti, individu, dan kapal di seluruh dunia sedang dipertimbangkan untuk dikenakan sekatan.
Walaupun tekanan ekonomi semakin berat dan ekonomi Iran dijangka menguncup 6.1 peratus tahun ini, keberkesanan strategi AS masih menjadi persoalan. Iran telah berdepan sekatan dan pengasingan ekonomi AS selama beberapa dekad serta membangunkan pelbagai kaedah untuk mengelakkannya. Hampir enam bulan perang dan tekanan AS masih belum menghasilkan penyelesaian berkekalan, menunjukkan cabaran besar dalam mencapai matlamat Washington.