- Berita Dunia
- Meja Berita
TEHERAN: Trafik melalui Selat Hormuz terus meningkat dengan anggaran terkini menunjukkan aliran minyak dan produk petroleum kini menghampiri 80 peratus daripada paras sebelum perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari, menurut data laman penjejakan kapal tangki.
Pemulihan itu berlaku ketika Iran dan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan pengantara untuk menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama tujuh bulan, sekali gus menjadikan persoalan siapa yang bakal mengawal laluan air penting itu sebagai faktor penting dalam rundingan. Kesan terhadap pengaruh Teheran
Keadaan itu boleh menjejaskan pengaruh Iran dalam usaha mendapatkan perjanjian yang memihak kepada mereka bagi menamatkan pertempuran dan sekatan laut yang sudah cukup menjejaskan ekonomi negara itu.
Namun, pakar berpendapat adalah terlalu awal untuk menganggap keadaan normal di Selat Hormuz bakal kembali, atau Iran akan mudah mengalah walaupun berdepan kesukaran ekonomi yang semakin meningkat.
"Fakta bahawa minyak kini boleh melalui Selat Hormuz sememangnya sesuatu yang menggalakkan, tetapi aliran itu masih belum dianggap benar-benar selamat atau terjamin, khususnya selagi konflik lebih luas masih belum diselesaikan," kata Ketua Strategi Pelaburan Wealth Club, Susannah Streeter kepada Al Jazeera.
Selain itu, harga minyak kekal tinggi di pasaran global, termasuk di AS, manakala kos insurans kapal tangki juga kekal tinggi. Aliran tenaga melalui Selat Hormuz masih jauh daripada selamat sepenuhnya, menunjukkan pengaruh Iran mungkin semakin lemah tetapi belum hilang taringnya. Eksport Asia Barat pulih
Data terkini daripada firma analisis komoditi Kpler menunjukkan pemulihan ketara dalam eksport minyak dari Asia Barat. Eksport minyak mentah dianggarkan mencecah 16.328 juta tong sehari pada September, paras tertinggi sejak perang bermula pada akhir Februari, menurut laporan firma itu minggu ini.
Aliran melalui Selat Hormuz sendiri dijangka mencapai kira-kira 9.719 juta tong sehari sepanjang bulan berkenaan. Arab Saudi menjadi pemacu utama peningkatan itu, dengan eksportnya meningkat daripada 2.446 juta tong sehari pada Ogos kepada kira-kira 5.4 juta tong sehari pada September.
Kpler berkata, eksport minyak mentah Asia Barat semakin pulih mencecah 80 peratus paras sebelum perang. Bagaimanapun, jumlah itu adalah 3.2 juta tong sehari lebih rendah berbanding 19.513 juta tong sehari yang dieksport pada Februari.
Data berkenaan juga tidak mengambil kira kapal yang melalui Selat Hormuz dengan sistem penjejakan dimatikan, bermakna jumlah trafik sebenar mungkin lebih tinggi. Trafik kapal tangki merosot
Sebelum perang, dianggarkan sebanyak 120 hingga 140 kapal melalui laluan laut itu setiap hari. Kira-kira separuh daripadanya kapal tangki minyak yang membawa sekitar 20 juta tong sehari.
Ketika pertempuran memuncak, trafik melalui laluan itu merosot sehingga hanya dua kapal tangki sehari selepas Iran secara berkesan menutup selat berkenaan sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel.
Iran sebelum ini berusaha menggunakan keupayaannya untuk mengganggu Selat Hormuz, salah satu laluan penting bekalan tenaga dunia, sebagai pengaruh untuk menghadapi tekanan ketenteraan dan ekonomi AS. Namun, jika sejumlah besar minyak terus bergerak melalui selat itu ketika Iran sendiri masih berdepan sekatan laut AS, kuasa tawar-menawar Teheran bakal berkurangan.
Bagaimanapun, Iran menolak sebarang penilaian kawalannya ke atas selat itu semakin terhakis. Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Mohebbi berkata, konflik ketenteraan masih berlaku di Selat Hormuz.
"Kami sudah lama menyerang kapal-kapal kecil dan menghalang mereka daripada melalui selat, tetapi AS tidak bertindak balas," kata Mohebbi dalam temu bual dengan agensi berita separa rasmi Fars.
Bagi Malaysia, Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi import minyak mentah dan produk petroleum, sekali gus mempengaruhi kos tenaga, pengangkutan dan harga barangan pengguna. Sebarang gangguan berterusan di laluan itu berpotensi menambah tekanan terhadap inflasi dan kos sara hidup, walaupun kesan penuh bergantung kepada perkembangan rundingan dan keadaan keselamatan di rantau berkenaan.