ACCCIM, UOB Malaysia perluas akses penyelesaian kewangan

ACCCIM, UOB Malaysia perluas akses penyelesaian kewangan

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia) bagi memperluas akses ahlinya kepada penyelesaian kewangan, khidmat nasihat dan sokongan perniagaan. Menurut kenyataannya, MoU yang ditandatangani pada 10 Oktober 2026 itu bertujuan memperkukuh kerjasama strategik kedua-dua pihak dalam menyokong pertumbuhan perniagaan serta usaha kelestarian ahli ACCCIM. Menerusi kerjasama itu, UOB Malaysia akan memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakaran sektornya untuk menyediakan sokongan kewangan, perniagaan serta khidmat nasihat pengurusan kekayaan bagi membantu ahli ACCCIM meningkatkan daya saing dan memenuhi keperluan perniagaan yang semakin berkembang. Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng berkata, perniagaan kini berdepan cabaran yang semakin meningkat dalam aspek pembiayaan, operasi rentas sempadan dan peluasan pasaran susulan persekitaran ekonomi global yang semakin dinamik. Katanya, kerjasama dengan UOB Malaysia akan menyediakan platform sokongan kewangan dan perniagaan yang lebih menyeluruh kepada ahli ACCCIM, sekali gus membantu mereka memperkukuh keupayaan rentas sempadan serta meneroka peluang pertumbuhan baharu di pasaran serantau. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan, memperkukuh daya saing dan merebut peluang di seluruh ASEAN. Beliau berkata, sempena ulang tahun ke-75 operasi UOB Malaysia di negara ini, bank itu akan terus bekerjasama dengan perniagaan untuk membina daya tahan dan mencapai pertumbuhan mampan dalam persekitaran perniagaan yang semakin dinamik. “Selain menyokong pertumbuhan perniagaan, UOB Malaysia turut membantu usahawan memelihara kekayaan yang dibina serta mewujudkan legasi berkekalan untuk generasi akan datang,” katanya. MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Presiden ACCCIM, Datuk Looi Hei Tyng dan Ketua Perbankan Komersial UOB Malaysia, Beh Wee Khee. – UTUSAN The post ACCCIM, UOB Malaysia perluas akses penyelesaian kewangan appeared first on Utusan Malaysia.

Berita lain

Sitemap