12,056 sekolah wajib patuh SOP keselamatan mulai 1 Julai

  • Berita Dunia
  • Meja Berita

PUTRAJAYA: Semua 12,056 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diwajibkan memastikan pengurusan keselamatan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang telah dikuatkuasakan.

Garis panduan itu mula memperincikan tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan salah laku, termasuk kes buli, mulai 1 Julai lalu, dengan hukuman sehingga gantung atau buang sekolah.

Penambahbaikan daripada program 2002

Penambahbaikan tersebut merupakan peluasan daripada Pelaksanaan Program Sekolah Selamat 2002, dengan skop pengurusan keselamatan kini merangkumi aspek fizikal, persekitaran, psikososial, kesiapsiagaan kecemasan, pengurusan insiden serta keselamatan siber dan digital.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Mohd. Hanafi Samad berkata, garis panduan setebal 386 muka surat itu memberi penekanan kepada pendekatan menyeluruh yang menekankan aspek keselamatan fizikal, keselamatan persekitaran, keselamatan psikososial, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, pengurusan insiden dan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Katanya, pendekatan berkenaan berpaksikan kepada prinsip pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bagi menangani sebarang risiko atau ancaman keselamatan.

Beliau menegaskan, pengurusan keselamatan merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga sekolah dan juga komuniti yang memerlukan kepimpinan proaktif, kerjasama bersepadu dan budaya cakna keselamatan.

“Dengan adanya panduan ini, setiap sekolah diharap dapat mengurus keselamatan secara sistematik dan selaras dengan dasar serta arahan KPM, termasuklah pematuhan kepada SOP, garis panduan serta amalan terbaik semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tujuh fokus utama garis panduan

Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat mengandungi tujuh fokus iaitu Fokus Pengurusan Keselamatan Aktiviti Murid; Keselamatan Fizikal, Prasarana dan Bilik-Bilik Khas; Pengurusan Keselamatan Di Asrama; Pengurusan Salah Laku Disiplin; Kesejahteraan Psikososial; Keselamatan Siber Dan Digital; dan Pelan Tindak Balas Kecemasan.

Secara khusus, garis panduan itu menyediakan panduan praktikal kepada pentadbir sekolah, guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti dalam membina mekanisme pengurusan keselamatan yang sistematik.

Usaha itu memerlukan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sekitar dalam memastikan sekolah sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Penilaian risiko disemak setiap tahun

Menurut Mohd. Hanafi, pengurusan sekolah selamat hendaklah diselaraskan sepenuhnya melalui struktur Jawatankuasa Pengurusan 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) yang terdiri daripada pentadbir sekolah dengan memberi penekanan utama kepada aspek keselamatan.

Katanya, penilaian risiko hendaklah dikaji semula sekurang-kurangnya setahun sekali atau apabila berlaku perubahan pada aktiviti, peralatan atau persekitaran sekolah.

Semakan juga perlu dilakukan selepas berlakunya kejadian kecemasan, kemalangan, isu kesihatan atau aduan keselamatan.

Pada masa sama, katanya, keperluan asas keselamatan di sekolah perlu diselenggara secara berkala dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh KPM, JBPM serta PBT.

Jelasnya, keperluan asas keselamatan itu merangkumi kemudahan, peralatan dan sistem sokongan yang disediakan bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan kesiapsiagaan warga sekolah dalam menghadapi sebarang kecemasan.

“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM ini diterbitkan sebagai rujukan utama kepada semua pemimpin sekolah, warga pendidik, komuniti setempat serta agensi yang berkaitan,” katanya.

Tegasnya, pematuhan kepada garis panduan itu bukan sekadar memenuhi keperluan peraturan, malah menjadi asas penting dalam membentuk budaya keselamatan yang berterusan dalam ekosistem pendidikan negara.

Berita lain

Sitemap